Puisi ini saya terjumpa ketika majlis konvokesyen pertama pelajar DPI PJJ Singapura yang berlangsung di Dewan Masjid Abd Rahman di Singapura. Selepas selesai, saya melabuhkan diri di dewan solat masjis tersebut untuk berehat seketika. Lalu saya mencapai sebuah majalah yang berwarna hijau tua yang tersusun di sebuah rak buku di tepi dinding masjid tersebut. Lantas saya membelek-beleknya dan akhirnya saya terhenti …di muka surat yang tertera “And I Learned……..’ Saya terkesan apabila membacanya dan ingin berkongsi dengan seluruh warga yang bakal menjadi pendidik anak-anak kecil suatu hari nanti. Sebagai pendidik (ibubapa atau guru) apa yang dilakukan oleh para pendidik merupakan qudwah/petunjuk yang sangat memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak-anak/anak-anak murid. Apa yang ingin para pendidik sampaikan, perlulah konsisten dengan tingkah-laku yang ditunjukkan kerana kanak-kanak mendengar dengan matanya. Rasulullah merupakan qudwah hasanah dan baginda bersabda bahawa baginda diutuskan adalah untuk menjadi contoh kepada umatnya dalam semua aspek kehidupan.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan bAllah dan balasan baik hari akhirat, mserta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak ( dala masa susah dan senang) -Surah Al-ahzab ayat :21
Justeru itu ayuhlah wahai para pendidik sekalian, perbaikilah diri, hiasilah diri dengan pekerti dan akhlak mulia agar menjadi contoh tauladan kepada anak-anak didikan nanti.
LALU AKU MENGERTI…
Ketika kau tidak menyedari……
Aku melihat kau mengubati burung yang malang
Lalu aku mengerti pentingnya ihsan untuk semua makhluk
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau mendermakan wangmu
Lalu aku mengerti penting bermurah hati.
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau menghulurkan pertolongan
Lalu aku mengerti pentingnya berkhidmat pada yang memerlu
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau memasakkan lauk kegemaranku
Lalu aku mengerti kadangkala betapa bermakna sesuatu perkara kecil itu
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau menghulurkan tangan untuk membantu
Lalu aku mengerti setiap insan boleh membuat perbezaan
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau meringankan beban kawanmu yang sakit
Lalu aku mengerti pentingnya menenangkan hati mereka yang dalam kesukaran
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau menjalankan tugasmu walau betapa berasa penat
Lalu aku mengerti betapa pentingnya sifat tanggungjawab.
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat kau bersujud dan berdoa
Lalu aku mengerti aku sentiasa boleh bergantung kepada Allah
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat betapa perihatin engkau kepada yang lain
Lalu aku ingin mengikuti jejak mu
Ketika kau tidak menyedari…..
Aku melihat dirimu dan ingin mengucapkan
“Terima Kasih – atas segala yang aku pelajari apabila kau tidak mnyedari aku sedang melihat.
Majalah NADI ( Keluaran MUIS, Spura) Sept 2009
Recent Comments